Saya Pernah Bencikan Islam – Leia Azzahra

Meskipun pernah membenci Islam, namun segalanya berubah buat Leia Azzahra Justin apabila ia bertukar kepada rasa cinta dan sayang kepada agama suci itu.
Menurut Leia, dia dibesarkan di dalam sebuah keluarga Kristian yang berpecah belah dan telah ditanam di dalam dirinya untuk membenci Islam sejak kecil serta menyifatkan Islam sebagai sebuah agama yang ‘ganas’.
“Saya begitu membenci Islam dan menyifatkan Rasulullah sebagai pencetus keganasan, sekiranya baginda masih hidup, saya ingin membunuhnya.
“Namun, hati saya bertukar menjadi kasih kepada Muhammad SAW setelah saya didatangi mimpi mendengar seruan azan, dan melalui Al-Quran serta pembacaan buku-buka agama, terus terang, saya akhirnya jatuh cinta pada agama ini dan Rasulnya,” katanya yang ditemui di gerai pameran TV Al-Hijrah di Karnival Inovasi Islam, Masjid Negara di sini hari ini.
Leia adalah salah seorang daripada tujuh orang kumpulan artis baru yang menggelarkan diri mereka Studio Muallaf yang bakal berkongsi pengalaman, pahit manis, getir perjalanan hidup sebagai seorang saudara baru bersama rakan-rakan lain iaitu James Vernon Burge (JV), Divesh Kumar Daniel, Robby, Alex Koh Kee Kiat, Ustaz Ng dan pengasas kumpulan Studio Muallaf, XiFu.



