close button

Maria Hertogh (Natrah) meninggal dunia

Kategori: Berita,Umum

Natrah bersama ibu angkatnya Cik Aminah

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Hrkh) – Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika dahulu, dilaporkan telah meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda Rabu baru-baru ini.

Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, demikian menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama pada hari Khamis.

Bertha menjadi isu di Singapura pada 1950, akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya Che Aminah dengan keluarga asal beliau yang berketurunan Belanda.

Bertha ketika itu berumur 13 tahun dan telah memeluk Islam dan bernikah gantung dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor Adabi.

Namun undang-undang British / Belanda tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada berkahwin. Natrah akhirnya diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandung di Belanda.

Keputusan mahkamah itu menimbulkan kamarahan masyarakat Islam di Singapura, sehingga berlaku rusuhan yang dikenali sebagai Rusuhan Natrah.

Dilaporkan seramai 18 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera dalam tragedi itu ketika mereka bertempur dengan tentera dan polis British, sehingga Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama dua hari dua malam.

Dr Fauziah berkata Natrah akhirnya pulang ke Belanda, namun hati dan perasaannya masih melekat di Malaya, ketika itu.

Natrah yang menggunakan nama Bertha pernah kembali ke rantau ini pada 1999 untuk penggambaran filem dokumentari mengenai dirinya oleh sebuah syarikat televisyen Belanda.

“Menurut Bertha, beliau hanya merasa bahagia ketika zaman kanak-kanaknya,” kata Dr Fauziah melalui e-melnya kepada Bernama.

Sebuah filem mengenai Bertha arahan Ben Sombogaart dilaporkan akan dikeluarkan tahun depan.

Bacaan lanjut: Sejarah Hidup Natrah (dalam format .pdf)

11 Jul

Gerakan Kristianisasi di Malaysia

Kategori: Umum

Tera Tak Adamar & Mohd Elfie Nieshaem Juferi

Kalimah kesyukuran diucapkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah nikmat yang dikurniakan-Nya serta dengan taufik dan hidayah-Nya, kita masih mengecapi kemanisan iman sehingga ke hari ini. Nikmat Iman dan Islam inilah yang telah dianugerahkan oleh Yang Maha Esa bersama kemegahan yang dijanjikan oleh Allah subhanahu wa’ taala.

Sejarah telah mencatatkan bahawa kemegahan dan keagungan Islam mula dicarikkan sedikit demi sedikit bersama runtuhnya Daulah Islamiah Uthmaniyyah pada tahun 1942. Daulah yang diamanahkan untuk menjaga hak asasi manusia telah hancur lebur. Malah hari ini kita menyaksikan akidah yang menjadi benteng kekuatan umat Islam juga mula diruntuhkan setelah 74 tahun runtuhnya ad-Daulah al-Islamiah.

Mutakhir ini gejala murtad mula menyerang orang-orang Islam di Malaysia. Apa yang menyedihkan ialah kebanyakan yang terlibat ialah anak-anak yang kurang berpendidikan agama, walaupun tidak dinafikan sesetengah daripada mereka telah dibekalkan secangkiran ilmu agama, tetapi ia terlalu nipis untuk menjadi benteng serangan murtad. Setakat pemerhatian penulis, antara agama yang menjadi pilihan untuk dianuti oleh orang Melayu (murtad kepada agama lain) ialah Kristian, Hindu dan Buddha, di mana agama Kristian yang merupakan agama paling aktif berbanding dengan agama lain kerana ia melibatkan gerakan tersusun oleh misionaris antarabangsa, manakala mereka yang murtad kepada agama Hindu dan Buddha hanya melalui proses perkahwinan dan percintaan secara rambang. Gerakan Kristianisasi di Malaysia inilah yang merupakan fokus perbincangan artikel ini, Insya’ Allah.

Sejarah telah menujukkan proses Kristianisasi ini telah mula bertapak di Tanah Melayu semenjak penjajahan Portugis 1511 Masehi lagi. Sekiranya kita melihat Kota Melaka kita akan dapati di sana terdapat banyak gereja-gereja yang dicat warna merah. Itulah tempat batu asas agama Kristian di Malaysia. Di dalam Kota Melaka terdapat satu kubur mendiang ketua paderi Melaka berdiri megah dalam A Famosa. Walau bagaimanapun proses Kristianisasi di Tanah Melayu kurang berjaya sehinggalah Malaya mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957 Masehi.

Baca seterusnya…

02 Oct